Erezeki

Pada 21 oktober saya mengikuti kursus erezeki di kolej komuniti.Kursus ini adalah anjuran MDEC. Kursus bermula pukul 8.30am sehingga 4.30pm. Saya teringin untuk mencuba kerja sampingan. Seramai 12 orang mengikuti kursus ini. Kali ini saya mengikuti sendiri kursus ini tanpa sahabat saya. Sahabat saya pernah mengikuti kursus ini.Kursus ini adalah percuma dan ditaja oleh MDEC. Kursus juga menyediakan makan tengahari.

Pada sebelah pagi kami didedahkan dengan teori. Kami diajar cara untuk mendaftar erezeki. Kemudian kami diperkenalkan kategori bidang kerja yang terdapat di erezeki. Kami didedahkan dengan bidang kerja yang mudah. Kami diajar cara untuk terima tugas dan mendaftar di website yang diingini. Antara tugas yang diperkenalkan kepada kami ialah dropship, mencuba website @ aplikasi baru, viralkan cerita, menjual gambar dan sebagainya.

Saya rasa seronok dapat mencuba pelbagai tugas. Erezeki memudahkan untuk kita mencari kerja mengikut kesesuaian kita. Diakhir kursus saya menerima sijil kehadiran.

Advertisements

Kursus Pendapatan Penambahan Dropships

Pada 14 oktober 2017 saya mengikuti kursus pendapatan penambahan dropships di kolej komuniti.Saya mengikuti kursus ini kerana saya telah lama ingin mengetahui lebih lanjut mengenai dropships. Saya menghadiri kursus ini bersama seorang sahabat saya. Kelas bermula pukul 8.30am dan berakhir pada 4.30am.

Sahabat saya menjemput saya dirumah dan kami sarapan pagi di bandar. Saya menikmati secawan air milo panas dan pulut bersama rendang ayam.

Seramai 9 orang menghadiri kursus ini. Kami diajar cara untuk mendaftar dropships produk dari kumoten dan platform jualan di 11street. Pendaftaran kumoten mudah dan cepat. Kami juga diajar cara untuk memilih produk dan mengurus site produk sendiri seperti cara promosi di site dan cara untuk order item yang ingin dibeli dari kumoten.

Bagi pendaftaran 11streets kami memerlukan dokumen seperti kad pengenalan, bill utiliti dan buku akaun bank. Penceramah memberitahu agar membuat palang dan menulis ‘for 11street use only’ pada dokumen penting supaya tiada penyalahgunaan dokumen di kemudian hari. Permohonan pendaftaran 11street memerlukan sehingga 2 minggu untuk pengesahan. Kami dimaklumkan kumoten boleh integrate dengan 11streets dan ini memudahkan pengiklanan produk.

Selain itu penceramah menunjukkan cara untuk memohon pendaftaran di lazada dan lelong.my. Penceramah memaklumkan terdapat platform yang mengenakan cas bulanan untuk menggunakan platform jualan tersebut.

Kami berehat pada pukul 12.30pm sehingga 2.30pm. Kami makan tengahari di pizza hut di bandar. Pada sebelah petang, penceramah mengajar cara copywriting. Akhir kursus kami diberikan sijil kehadiran.

Habis kursus saya dan kawan ke pusat membeli-belah. Kami menonton wayang geostorm. Jalan cerita menarik dan penuh aksi. Kami pulang ke rumah masing-masing pada pukul 11.30pm. Saya rasa seronok dapat menuntut ilmu dan bersama sahabat saya.

Hujung minggu

Hari ini saya bangun lewat kerana malam semalam saya pergi wayang tengok cerita the foreigner bersama sahabat baik saya. Hampir setiap minggu saya dan sahabat baik meluangkan masa bersama pada setiap hari malam jumaat makan malam bersama dan menonton wayang. Seronok rasa setiap minggu dapat bersama sahabat baik.Sekiranya waktu tayangan lewat sedikit,kami akan cuci mata melihat jualan di shopping complex.

Hari ini saya ke kedai tayar untuk membuat alignment dan balancing tayar. Selepas itu saya mungkin akan ke kedai barangan elektrik untuk membeli dekoder iptv untuk mak saudara saya.

Hari ini saya rasa penat sedikit mungkin kerana kerja di pejabat banyak dan saya tidur lewat kerana menyiapkan kerja di rumah waktu malam.

Hari ini cuaca mendung mungkin kerana musim hujan sudah bermula.Setiap hari pada sebelah petang akan hujan ada masanya sehingga lewat malam.

Rasa mengantuk menunggu alignment tayar selesai.Selepas makan terasa hendak mencari tudung baru.Tidung yang selalu saya pakai sewaktu bekerja telah lusuh.

Sekarang saya rasa lebih tenang dari sebelum ini yang mana saya rasa gelisah.Saya mula tidak menghiraukan perkara dan fikiran negatif berlegar dalam pemikiran saya.Saya sentiasa makan ubat mengikut arahan doktor.

Nenek meninggal dunia

Pagi semalam nenek saya meninggal dunia.Beliau berumur 91 tahun. Beliau meninggal dunia kerana sakit tua. Saya mengetahui nenek saya nazak pada tengah malam semalam apabila sepupu saya menghantar mesej. Saya balik ke kampung esok pagi sebelum pergi kerja. Saya berbelah bagi untuk berada di kampung @ bekerja kerana ada sistem yang perlu saya pelajari pada hari tersebut.Maka saya masuk kerja lewat sedikit.Pada pukul 11am nenek saya meninggal dunia. Pada pukul 6pm selamat dikebumikan di tanah perkuburan kampung.

Saya rasa sedih sangat kerana saya sudah tiada datuk dan nenek.Sehingga sekarang saya masih rasa sebak.Saya cuba untuk tidak menangis di pejabat. Ada ketika saya mengalirkan air mata. Malah sambil menaip blog ini air mata saya masih mengalir di pipi.Saya rasa kehilangan yang sangat besar.

Rumah baru

Awal bulan 8 saya telah terima kunci rumah baru saya. Saya antara orang yang berjaya dapat perumahan prima. Sejak dari awal bulan 8 saya berulang ke rumah baru untuk memastikan air dan elektrik ada dirumah dan juga orang datang untuk mengukur bagi menyediakan blind, build in kabinet, awning,lantai porch seramik dan wiring.Beberapa minggu ini juga saya ke bandar mencari barangan elektrik dan perabot. Saya masih membuat penilaian untuk membeli barangan elektrik dan perabot. Saya rasa seronok kerana dapat membuat pilihan pelbagai barang untuk kediaman baru saya. Beberapa minggu ini saya lebih banyak berfikir keperluan rumah baru saya. Kawan baik saya juga membantu saya membuat pilihan.Saya rasa seronok sangat kerana bertambah rezeki untuk memiliki rumah sendiri.

Walau sibuk bagaimanapun,saya dan kawan baik saya akan luangkan masa untuk melakukan aktiviti kegemaran kami iaitu menonton wayang. Kami biasanya akan menonton wayang pada malam jumaat. Hari menonton akan ditukar kepada hari khamis sekiranya kawan saya balik ke kampugnya.Kami juga akan mencuba makanan di restoran baru sekitar bandar. Saya berharap agar urusan rumah baru saya dipermudahkan.

Tolong doakan semua urusan berjalan lancar.

Open house, Kursus, Harijadi

Hari ni sakit kepala rasa. Kerja agak banyak dan letih melayan karenah rakan sekerja dari unit @ jabatan lain yang suka melepaskan kerja.Semua kepada unit IT. Mereka lupa mereka adalah pemilik kepada sistem dan IT menjaga dari segi teknikal. Mereka cakap seolah-olah kerja saya ni hanya sedikit. Ada masa rasa hilang sabar dan terasa hendak meninggikan suara.Tetapi saya hanya bersabar dan cuba mengawal emosi saya. Ada masa saya rasa hendak bercuti panjang pergi ke tempat-tempat menarik bersama kawan baik saya untuk melupakan kerja seketika agar saya rasa bersemangat untuk bertugas. Ada masa saya tiada semangat untuk bekerja. Beberapa hari ni saya rasa hendak menangis tanpa sebab. Apabila sakit kepala,saya juga rasa loya.

Saya setiap hari cuba mengekalkan fikiran positif.Saya berharap sangat dapat kembali ceria seperti sebelumnya ayah meninggal dunia.

Sekarang selesai segala open house.Saya rasa gembira kerana berat badan turun sebanyak 4kg berbanding sebelum hari raya.Saya mengamalkan makan nasi sedikit dan makan awal makan malam dengan makanan ringan sahaja. Sekurang-kurangnya ada perkara yang menggembirakan hati saya.

Dua minggu lepas saya menghadiri kursus di Kuala Lumpur selama 3 hari.Saya dapat berjumpa dengan sahabat lama saya semasa belajar di matrikulasi.Kami makan malam dan menonton wayang bersama. Dua minggu lepas juga merupakan harijadi saya. Sahabat baik saya belanja makan malam bagi meraikan harijadi saya. Seronok rasa ada sahabat yang bersama saya.

Esok saya bercadang untuk melawat ibu saya yang kurang sihat. Saya harap saya dapat balik kerja awal esok. Ibu saudara saya pula berada di wad. Saya cuba luangkan masa untuk melawat beliau.

Saya harap saya semakin ceria dan sihat selalu.

AidilfitriĀ 

Raya tahun ini saya hanya ambil 1 hari cuti. Apabila duduk dekat dengan famili, saya rasa biasa je bekerja walaupun orang lain semua cuti.Sehari sebelum raya seperti setiap tahun akan ke rumah nenek bagi persiapan raya.Saya dan famili besar akan menyediakan rendang daging dan burung punai, lemang, ketupat, kuah kacang dan sebagainya.Saya dan mak saudara bertolak balik awal pada hari tersebut. Saya rasa seronok dapat bersama saudara-mara. Hari raya pertama hingga ketiga saya balik kampung setiap hari untuk berjumpa saudara-mara. Kami mengambil gambar dan video pada hari sebelum raya dan hari raya. Kami membuat video mannequin dan slideshow gambar raya. Kuih raya juga ada banyak jenis.Tahun ini saya hanya membeli kuih raya. Pada hari raya keempat saya hanya berehat di rumah kerana keesokan hari saya mula bekerja. Hari raya kelima dan keenam saya mula puasa ganti. Tahun ini saya perlu ganti puasa sebanyak 6 hari. Hari Isnin hingga khamis minggu hadapan saya akan sambung semula puasa ganti.Hujung minggu ini saya hanya berehat di rumah. Saya banyak berehat sambil makan kuih raya dan menonton rancangan tv.