Episod Kedua

Tempat bertugas dan kampung memakan masa 3 jam perjalanan. Saya cuba balik kampung 2 minggu sekali. Ibu saya ada menyatakan harapannya agar saya kerap balik untuk menemani dan menjaga keperluan beliau. Setelah lama bertugas di tempat tersebut, saya mrengambil keputusan untuk bekerja di tempat asal untuk menjaga ibu saya yang keseorangan dan merupakan warga emas.

Setelah setahun lebih saya tinggal bersama ibu saya, saya rasa terbeban dan dikongkong. Kediaman agak penuh dengan barang-barang sediada ditambah pula dengan barang-barang saya. Apabila adik-beradik balik, saya akan mengalah dan tidur di bilik yang sempit penuh dengan barang-barang. Saya lebih banyak menghabiskan masa dengan ibu saya. Saya juga menampung segala keperluan dan dari segi kewangan.

Adik-beradik saya yang lain jarang balik. Mereka balik apabila cuti perayaan atau apabila mereka lapang. Saya rasa dikongkong kerana ibu saya susah melepaskan saya untuk berjumpa kawan-kawan. Saya pernah menyuarakan rasa terbeban dan terkongkong kepada adik-beradik, tetapi mereka hanya menyatakan agar saya bersabar tanpa memberi penyelesaian. Saya juga selalu ditegur oleh ibu saya, ibu saya sentiasa tidak berpuas hati dengan saya dan membiarkan sahaja kelakuan adik-beradik yang lain. Ibu saya hanya akan memberitahu saya jika beliau tidak berpuas hati dengan adik-beradik yang lain. Saya pernah menyampaikan kepada adik-beradik tetapi tiada penyelesaian. Ibu saya mempunyai masalah ingatan dan beliau tidak dapat bertindak dan membuat keputusan dengan sendiri. Beliau cepat lupa apa yang beliau lakukan atau beliau pernah cakapkan. Saya juga pernah menyatakan rasa saya kepada ibu tetapi tiada penyelesaian.

Saya mula rasa yang saya tiada sesiapa dan tiada yang membantu saya. Saya juga pernah memerlukan bantuan dari adik-beradik dan ibu kerana memerlukan pembedahan segera tetapi tidak mendapat bantuan dan sokongan yang sewajarnya.

Semenjak dari itu, saya bertambah rasa terbeban dan rasa diri saya tidak dihargai. Saya rasakan diri saya tidak berguna dan rasa kosong dan keseorangan. Saya rasa sediah kerana saya membantu famili apabila mereka memerlukan bantuan, tetapi saya tidak dibantu apabila saya amat memerlukan bantuan.

Semakin lama saya kerap jatuh sakit seperti demam, gastrik, sakit kepala dan saya turut menghidap tekanan darah tinggi. Saudara mara dan kawan-kawan ada membantu saya tetapi saya tidak dihiraukan oleh famili sendiri.Mereka menyatakan yang saya hanya hendakkan perhatian.

Setiap hari saya rasa semakin terpinggir dan saya lebih banyak memendam perasaan saya. Pernah beberapa kali saya mula terfikir untuk membunuh diri kerana saya rasakan tidak mempunyai sesiapa.Saya pernah rasa untuk overdose, terjun bangunan, terjun jambatan dan menoreh pergelangan tangan saya.

Doktor yang pernah merawat saya merujuk saya kepada doktor psikiatri. Saya mendapatkan bantuan dalam tahun ini. Saya pernah memasuki wad psikiatri dan kesihatan mental selama 2 minggu dan sekarang saya menjalani psikoterapi.

Ibu saudara saya pernah sebelum ini mengajak saya tinggal dirumah beliau, kerana beliau nampak layanan yang tidak setimpal dari ibu dan adik-beradik. Saya sekarang menetap di rumah ibu saudara saya. Setiap hari saya cuba menempuh dengan sabar. Saya mencari diri saya yang sebenar.

Author: Cik Kosong

Seorang wanita yang ingin berkongsi kisah hidup sebagai pesakit major depressive disorder with borderline personality trait

Leave a comment