Episod Kedua

Tempat bertugas dan kampung memakan masa 3 jam perjalanan. Saya cuba balik kampung 2 minggu sekali. Ibu saya ada menyatakan harapannya agar saya kerap balik untuk menemani dan menjaga keperluan beliau. Setelah lama bertugas di tempat tersebut, saya mrengambil keputusan untuk bekerja di tempat asal untuk menjaga ibu saya yang keseorangan dan merupakan warga emas.

Setelah setahun lebih saya tinggal bersama ibu saya, saya rasa terbeban dan dikongkong. Kediaman agak penuh dengan barang-barang sediada ditambah pula dengan barang-barang saya. Apabila adik-beradik balik, saya akan mengalah dan tidur di bilik yang sempit penuh dengan barang-barang. Saya lebih banyak menghabiskan masa dengan ibu saya. Saya juga menampung segala keperluan dan dari segi kewangan.

Adik-beradik saya yang lain jarang balik. Mereka balik apabila cuti perayaan atau apabila mereka lapang. Saya rasa dikongkong kerana ibu saya susah melepaskan saya untuk berjumpa kawan-kawan. Saya pernah menyuarakan rasa terbeban dan terkongkong kepada adik-beradik, tetapi mereka hanya menyatakan agar saya bersabar tanpa memberi penyelesaian. Saya juga selalu ditegur oleh ibu saya, ibu saya sentiasa tidak berpuas hati dengan saya dan membiarkan sahaja kelakuan adik-beradik yang lain. Ibu saya hanya akan memberitahu saya jika beliau tidak berpuas hati dengan adik-beradik yang lain. Saya pernah menyampaikan kepada adik-beradik tetapi tiada penyelesaian. Ibu saya mempunyai masalah ingatan dan beliau tidak dapat bertindak dan membuat keputusan dengan sendiri. Beliau cepat lupa apa yang beliau lakukan atau beliau pernah cakapkan. Saya juga pernah menyatakan rasa saya kepada ibu tetapi tiada penyelesaian.

Saya mula rasa yang saya tiada sesiapa dan tiada yang membantu saya. Saya juga pernah memerlukan bantuan dari adik-beradik dan ibu kerana memerlukan pembedahan segera tetapi tidak mendapat bantuan dan sokongan yang sewajarnya.

Semenjak dari itu, saya bertambah rasa terbeban dan rasa diri saya tidak dihargai. Saya rasakan diri saya tidak berguna dan rasa kosong dan keseorangan. Saya rasa sediah kerana saya membantu famili apabila mereka memerlukan bantuan, tetapi saya tidak dibantu apabila saya amat memerlukan bantuan.

Semakin lama saya kerap jatuh sakit seperti demam, gastrik, sakit kepala dan saya turut menghidap tekanan darah tinggi. Saudara mara dan kawan-kawan ada membantu saya tetapi saya tidak dihiraukan oleh famili sendiri.Mereka menyatakan yang saya hanya hendakkan perhatian.

Setiap hari saya rasa semakin terpinggir dan saya lebih banyak memendam perasaan saya. Pernah beberapa kali saya mula terfikir untuk membunuh diri kerana saya rasakan tidak mempunyai sesiapa.Saya pernah rasa untuk overdose, terjun bangunan, terjun jambatan dan menoreh pergelangan tangan saya.

Doktor yang pernah merawat saya merujuk saya kepada doktor psikiatri. Saya mendapatkan bantuan dalam tahun ini. Saya pernah memasuki wad psikiatri dan kesihatan mental selama 2 minggu dan sekarang saya menjalani psikoterapi.

Ibu saudara saya pernah sebelum ini mengajak saya tinggal dirumah beliau, kerana beliau nampak layanan yang tidak setimpal dari ibu dan adik-beradik. Saya sekarang menetap di rumah ibu saudara saya. Setiap hari saya cuba menempuh dengan sabar. Saya mencari diri saya yang sebenar.

Famili saya juga suka melancong. Jadi setiap tahun kami akan melancong dalam negara, salah satu cara merapatkan hubungan. Famili saya juga sentiasa mengamalkan makan bersama-sama setiap kali waktu makan semenjak kecil. Saya dan adik-beradik tinggal berjauhan antara sata sama lain. Kami dapat berkumpul bersama sewaktu cuti panjang seperti cuti perayaan dan cuti sekolah hujung tahun. Saya rasakan hubungan saya dengan famili semakin kurang setelah ayah saya meninggal dunia dan setelah masing-masing mula merantau untuk membina hidup dan mencari rezeki.

Saya sehingga kini masih berhubung dengan kawan-kawan dari sekolah dan universiti. Saya juga berhubung dengan kawan-kawan dari tempat bertugas. Saya telah berpindah ke 3 tempat berlainan disebabkan bertukar kerja dan bertukar tempat bertugas. Saya mempunyai beberapa orang kawan rapat yang juga mengenali famili saya. Kami sentiasa berhubung antara satu sama lain. Teknologi moden juga memudahkan untuk kami berhubung.

 

Episod Pertama

Saya rapat dan manja dengan ayah saya. Ayah saya sentiasa memberi perhatian terhadap saya.

Episod pertama terjadi setelah ayah saya meninggal dunia hampir 10 tahun lepas. Saya merasakan saya hilang separuh dari diri saya setelah kehilangan ayah saya. Saya rasa semuanya tawar dan tiada semangat untuk melalui kehidupan. Saya tiada selera makan dan tidak semangat untuk melakukan aktiviti harian. Tidur juga tidak lena. Saya lebih banyak diam dan air mata sentiasa mengalir. Saya juga semakin kerap jatuh sakit.

Semasa di tempat kerja, saya menyelesaikan tugas sambil air mata mengalir.Saya tiada selera untuk makan maka waktu makan saya juga jadi tidak menentu. Bos dan kawan-kawan mengambil berat terhadap saya. Bos memberi ruang untuk saya dengan mengurangkan beban kerja dan kawan-kawan saya membeli makanan untuk saya sewaktu rehat kerana saya kurang berehat dan hanya menyiapkan tugas. Saya berehat hanya untuk menunaikan solat. Kawan-kawan mengajak saya makan bersama dan berborak tetapi saya tiada semangat. Saya hanya diam dan habis waktu kerja saya terus pulang ke rumah.

Saya mula mengalami sakit gastrik kerana tiada selera makan dan makan tidak menentu dan migrain kerana terlalu banyak berfikir dan tidak tidur lena. Saya mendapatkan rawatan di hospital swasta ditanggung oleh syarikat tempat saya bertugas.

Saya tinggal bersama seorang kawan baik semenjak belajar. Kawan saya sentiasa memberi membantu dan memberi semangat kepada saya. Saya balik kampung agak kerap kerana ibu saya tinggal seorang di kampung. Apabila balik saya akan membantu ibu saya dari segi keperluan beliau.

Saya mengambil masa yang sangat lama untuk menaikkan semangat diri saya semula. Saya selalu rasa seperti saya tiada sesiapa lagi dan rasa hidup saya kosong. Saya sentiasa sedih dan kerap jatuh sakit. Saya selalu mengalami demam, sakit kepala dan gastrik. Ada ketika saya dimasukkan ke wad hospital kerana sakit teruk. Pada tahun yang sama juga saya menghidap appendicitis dan menjalani pembedahan di hospital swasta.

Saya merupakan anak bongsu dari sebuah keluarga sederhana.Ayah saya merupakan orang penting dalam komuniti manakala ibu saya seorang suri rumah. Saya menuntut ilmu sehingga ijazah sarjana muda dan bercadang untuk menyambung pelajaran di masa hadapan. Saya sudah bekerja selama sepuluh tahun dalam bidang yang saya minati.

Saya merupakan seorang pendiam dan pendengar apabila berada dalam kumpulan tetapi saya banyak bercerita apabila saya disamping kawan baik dan orang yang saya selesa bersama. Saya suka melancong dalam dan luar negara samada secara solo atau bersama famili atau bersama kawan-kawan dan mengambil gambar pemandangan. Saya pernah melancong beberapa negara Asia dan melancong selepas menghadiri mesyuarat atau kursus di sekitar negara. Jawatan saya sekarang memerlukan saya kadang-kadang berada di pelbagai tempat untuk menyelesaikan tugas. Saya suka menonton cerita seram dan penuh aksi. Saya suka memasak masakan melayu atau barat. Saya juga suka mendengar lagu pelbagai genre dan menyanyi bersendirian atau di depan orang yang saya selesa. Saya suka mengumpul setem sehinggakan seorang kawan rapat saya membantu saya mengumpul setem. Saya juga sangat menyukai binatang dan pernah membela kucing dan hamster. Walaubagaimanapun, saya tidak lagi membela kucing kerana saya alah dengan bulu kucing.